Sebagai salah seorang anak Bugis generasi kedua yang ada di Sabah saya rasa terpanggil untuk mengetahui pendirian sebenar Persatuan Bugis aktif yang ada di Sabah. DI antara dua persatuan tersebut ialah PKBS dan PPRBM. Mengikut data RCI yang di bentangkan baru-baru ini, terdapat lebih 220 ribu orang bugis berdaftar sebagai warganegara yang menetap dan tinggal di Sabah.
Secara ringkasnya saya ingin melontarkan persoalan kepada persatuan-persatuan Bugis yang ada di Sabah, apakah sumbangan persatuan dalam membantu masyarakat bugis, apakah peranan Persatuan dalam menuntut hak yang sama rata dengan masyarakat yang ada di Sabah.
Sepanjang pemerhatian saya , Persatuan banyak berdiam dalam apa jua keadaan yang melibatkan suku Bugis. Adakah persatuan takut , segan ataupun jaga periuk sendiri dalam isu yang melibatkan Suku Bugis.
Di permulaan ini saya sangat-sangat dua persatuan ini dapat bersatu demi kepentingan bangsa. Buangkan lah yang keruh ambil lah jernih.
Catatan dari Sejarah Kedatangan Awal Bangsa Bugis Ke Sabah
Suku kaum Bugis merupakan salah satu etnik yang terdapat di dalam kelompok ras berbilang bangsa di negeri Sabah. Kebanyakan suku kaum ini telah menetap di pantai Timur Sabah iaitu di daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
Sejarah kedatangan suku kaum Bugis di Sabah (Tawau khususnya) berkaitan dengan sejarah penerokaan Tawau. Adalah dipercayai suku kaum ini telah meninggalkan Kepulauan Sulawesi menuju ke Pulau Jawa, Sumatera, Semenanjung Malaysia, Kalimantan dan Borneo sejak abad ke-16 lagi.
Tahun 1840 dijadikan sebagai fakta kukuh untuk menyatakan tempat permulaan penerokaan Tawau oleh suku kaum Bugis. Penempatan awal oleh suku kaum Bugis ini bermula di kawasan yang dikenali sebagai Ranggu. Ini bermakna suku kaum Bugis sudah pun menerokai kawasan Tawau dan menjadikan Ranggu sebagai salah satu destinasi untuk berulang-alik ke Indonesia menjadi pedagang dan membawa masuk pekerja buruh ke ladang-ladang milik kerajaan British ketika itu. Apapun, Ranggu diasaskan oleh nenek Penghulu K.K. Salim di Kampung Sungai Imam, Bombalai.
Kemudian seorang lagi bangsa Bugis dari kerabat diraja Bone bernama Petta Senong menetap di Sungai Imam, Bombalai. Usaha mereka ketika itu adalah sebagai orang upahan kepada Kerajaan Sulu untuk menghapuskan sebanyak mungkin lanun-lanun yang bergerak di perairan Laut Sulu, Borneo.
Kemudian, beberapa kawasan baru terus diterokai oleh suku kaum Bugis dan kawasan yang termasuk dalam tapak pembangunan Bandar Tawau. Antara suku kaum Bugis yang terlibat dalam penerokaan bandar Tawau ialah Puang Ado, Daeng Mappata, Wak Neke, Wak Gempe dan Haji Osman. (Muhd Firdaus Abdullah- 13 April 2018)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan