Selasa, 8 September 2020

Nyawa orang Sabah jadi taruhan PRN Sabah 2020-Covid 19

 



Kehadapan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, kehadapan Perdana Menteri Malaysia ,kehadapan  pengundi-pengundi Sabahan dan kehadapan orang-orang Sabah yang saya kasihi. Semoga ketika ini orang-orang Sabah berada dalam keadaan sihat walafiat di samping kerja-kerja seharian dan keluarga yang di sayangi.

Sewaktu saya menulis tulisan ini saya berada dalam keadaan waras, dalam keadaan sihat dan dalam keadaan emosi yang sangat stabil. Seperti yang umum ketahui Negeri Sabah bakal mengadakan pilihanraya dalam masa terdekat dan seperti yang SPR Malaysia telah jadualkan, penamaan calon di jadualkan pada 12/9/2020 dan tarikh pengundian akan di jalankan pada 26/9/2020. Ini  berikutan kes 33 ADUN Sabah yang di bicarakan oleh mahkamah tinggi sebentar tadi telah membuat keputusan bahawa pembubaran DUN Sabah adalah sah di sisi undang-undang Malaysia.

Untuk makluman  para pembaca sekalian Malaysia sedang mengalami Pendamik Covid 19 dan masa ini ianya berada di fasa pemulihan dengan pengurang kes-kes baru yang sangat ketara  buat seketika.


Tetapi semenjak dua hari ini, kes baharu Covid 19 telah meningakat dengan mendadak dan ianya hampir menimbulkan keadaan panik di kalangan masyarat terutama nya di Tawau dan Lahad Datu yang pada ketika ini kedua-dua daerah ini telah di istiharkan sebagai Zon Merah oleh pihak yang berwajib

Hari ini sahaja Malaysia mencatatkan 100 baru kes covid 19.  Yang sangat membimbangkan Sabah mencatatkan 32 kes baharu  bukan warganegara dan 30 kes baharu terdiri daripada warganagara Malaysia. Ini merekodkan 62 % adalah kes Sabah dan paling membimbangkan kes-kes ini adalah dari Tawau dan Lahad Datu dua daerah yang bersempadan antara satu dengan yang lain.

12/9/2020 adalah tarikh penamaan calon yang telah pihak SPR jadualkan, dan selepas dari tarikh tersebut acara kempen mula di jalankan, dahulunya masyarakat Sabah sudah mula menjarakkan diri dari majlis-majlis berkumpulan tapi bermula dari tarikh keramat 12/9/2020 acara kunjung-mengunjungi akan mula di jalankan, acara peluk-memeluk ala-ala arab akan berlaku dan acara salam-menyalam akan menjadi kewajiban dari setiap parti politik yang akan bertanding.

Dengan keadaan kes baru di Sabah yang menunjukkan peningkatan yang sangat ketara iaitu 62 % dari seluruh Malaysia, adakah pihak berwajib tidak menyedari akan bahaya yang orang Sabah akan hadapi? Adakah pihak berkuasa tidak mengutamakan keselamatan orang-orang Sabah dengan membiarkan kempen terus di jalankan dan pemilihan atau Pengundian terus di jalankan? Adakah pihak berkuasa lebih mengutamakan kuasa dan membiarkan rakyat jelata terdedah kepada Pendamik Covid 19 yang degan ganas nya sedang melanda Sabah.

Adalah di harapkan pihak berwajib memikirkan sedalam-dalamnya akan kesan yang bakal  dihadapi jika pilihanraya ini di teruskan. Adalah sesuatu yang sangat culas jika nyawa penduduk Sabah di dagangkan untuk maut demi sebuah kuasa, demi kepuasan sesetengah pihak.

Sanggupkah kerajaan melihat rakyat Sabah terjangkit dengan Covid 19 dan sensara dan melibatkan kematian? Janganlah nyawa rakyat Sabah di jadikan taruhan. Ada baiknya jika Pilihanraya ini di tangguhkan sehingga keadaan kembali stabil dan selamat.

Sebagai rakyat Malaysia yang merdeka kami sememangnya mahukan sebuah kerajaan yang stabil, sebuah kerajaan dan kuat untuk memastikan penduduknya boleh bekerja, boleh bersosial dengan selamat dan aman tetapi apalah makna itu semua jika Covid 19 sudah tidak dapat di kawal dan akan menyerang segenap penduduk dan ianya tidak dapat di bendung lagi !!!

Apakah harga nyawa orang-orang Sabah  di mata pemerintah kini.


Ahad, 6 September 2020

Empat individu berpotensi menang besar di PRN Sabah 2020

 Assalamualaikum dan salam perpaduan, salam kemerdekaan, salam PRN dan salam keberkatan dari allah .

 


 
Sebelum saya menulis dengan lebih lanjut lagi izinkan saya , mengulas serba sedikit mengenai PRN Sabah2020 yang bakal di adakan dalam masa terdekat.  PRN Sabah terpaksa di adakan berikutan pembubaran DUN Sabah oleh Yang amat berhormat Datuk Sri Shafie Apdal dan ianya mendapat perkenaan dari Tuan Yang terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah. Ini berikutan beberapa ADUN dari  Warisan telah berpaling tadah dan mengambil keputusan untuk menyokong kepimpinan daripada Ketua Menteri sebelumnya iaitu Tan Sri Musa Aman. 


 Pada 7/9/2020 menjadi tarikh penentu samada  Kem DSMA mantan Ketua Menteri Sabah akan memenangi perbicaraan tersebut atau pun sebalik nya. Jika perbicaraan ini di menangi oleh DSSA maka penamaan calon untuk PRN Sabah 2020 akan di adakan pada 12/9/2020 dan tarukh pilihanraya yang telah pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia telah tetapkan ialah pada 26/9/2020 dan semua pusat pengundian mula di buka pada pukul 8 pada dan ditutup pada pukul 5 petang seperti yang pihak SPR telah tetapkan.

Beberapa nama telah menjadi sebutan untuk menang dengan besar dan mudah di kawasan masing-masing iaitu DUN di Tawau dan Kalabakan. Mereka adalah sebahagian dari mantan ADUN yang lalu ,  sebahagian dari muka baru dan  seorang dari bekas calon yang kalah pada PRN yang lalu.

Dapatan ini di buat di Kawasan DUN-DUN Tawau dan DUN-DUN Kalabakan dan ianya tidak melibatkan kawasan DUN selalin dari yang di atas. Beberapa kaedah yang telah penulis gunakan di antaranya temuduga rambang penduduk di setiap DUN,  index kepuasan pengundi melalui google form  dan pemerhatian.

Diantara nama-nama yang cukup popular dan cukup pengundi senangi ialah:


1)  Tuan Sarifuddin Bin Hatta


Tuan Sarifuddin Bin Hatta ialah adalah ADUN Merotai dan telah memenangi kerusi untuk  kawasan tersebut pada PRN yang lalu. Beliau juga adalah anak jati  Merotai dan di khabarkan pernah tinggal di perumahan Ladang merotai dan membesar sebagai anak buruh ladang yang sememangnya faham akan keadaan penduduk dan penghidupan orang Merotai. Dari hasil pemerhatian dan temuduga yang penulis jalankan, hampir semua yang di jumpa menyatakan sokongan dan kepuasan hati mereka kepada kerja-kerja yang dia sudah lakukan ke atas kawasan DUN Merotai. Beliau juga di katakan sangat merendah diri dalam membuat hubungan dengan masyarakat sekeliling  dan mudah di dekati dan senang untuk di hubungi pada setiap masa.

2)  Datuk Nizam Abu Bakar Titingan



ADUN Kawasan  APAS. Seorang yang sangat mesra rakyat, seorang yang sangat mengambil berat akan permasalahan rakyat dan seorang yang sangat perihatin kepada semua penduduk yang berada di kawasan nya. Jumpa 10 orang responden 9 menyatakan Datuk Nizam akan menang bergaya dan seorang berkecuali. Selama dua tahun menjadi pembangkang di Sabah , hampir setiap hujung minggu beliau akan berada di kawasan untuk berjumpa menyelami permasalahan rakyat walaupun dengan bajet yang terhad tetapi beliau cuba dan sentiasa cuma untuk membantu dengan seadanya agar pengundi  dan penduduknya terbela. Tinjauan mendapai Datuk Nizam akan menang di DUN Apas dan sudah pasti mejoriti kemenangan akan bertambah.


3) Andi Suriadi Andi Bandu


Individu yang sudah cukup lama dalam arena politik Kalabakan. Pernah menjawat pelbagai Jawatan di peringkat parti seperti Ketua Pemuda Umno Kalabakan, Exco Pemuda Malaysia dan kini menjawat Jawatan Sebagai Ketua Umno Bahagian Kalabakan. Di khabarkan akan bertanding di DUN Tg Batu atas tiket UMNO/ BArisan Nasional. Mempunyai pengikut yang sangat ramai terutama dari golongan muda dan peringkat pertengahan. Sebut saja UMNO Kalabakan pastinya akan teringat arwah ayahanda beliau di ingati kerana pernah menjadi Penaja UMNO Bahagian Kalabakan.  Dengan reputasi dan keyakinan yang sangat tinggi dari para pengundi sudah pastinnya beliau juga akan menang bergaya di DUN yang dia akan tandingi kelak.

4)   Andi Rus Diana Andi Paladjareng


 Anak jati Balung dan di  lahir kan di Ladang Sungai Balung milik penuh kerajaan Negeri Sabah. Belajar di SK Balung, SMK Balung dan kemudian melanjutkan pelajaran di sebuah Universiti Awam Malaysia. Merupakan mantan Calon Balung pada PRU yang lalu dan tewas tipis kepada penyandang yang lalu.  Kesetiaan dan kesabaran ada kunci utama yang membuatkan dia sangat di senangi oleh pengundi Balung,, Kesetiaan juga yang akan menjadi penanda aras untuk pengundi Balung membuat pilihan kali ini. Pengundi Balung sudah fobia dengan ADUN yang lompat kesana dan lompat kesini dan ianya membuatkan penduduk Balung kecewa dan terpinggir dalam arus kemajuan di Negeri ini. Kesetiaan juga yang akan memastikan Balung akan maju seperti DUN lain yang ada di Sabah. Kesetiaan juga yang akan menjadi mercutanda untuk pengundi Balung memilih ADUN pada kali ini. Sudah pastinya  dia akan memang besar dan bergaya jika tercalon pada kali ini dan sudah pastinya akan mendapat undi yang mejoriti dengan slogan yang dia selalu laungkan iaitu " Setia dan Sabar"

Keempat-empat penama di atas adalah hasil dapatan yang dapat sepanjang dua bulan membuat kajian di lapangan. ianya hanyalah dapatan peribadi dan tidak melibatkan mana-mana Jabatan dan orang perseorangan. Ianya juga tidak boleh di jadikan rujukan atau panduan kepada mana-mana ketua Parti untuk di jadikan rujuan dan ianya semata-mata untuk rujukan penulis secara peribadi.

Selamat bertanding dan mengundi , semoga yang menang nanti akan sentiasa memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat setempat.

Sabah Tanah Airku









 

Isnin, 4 Disember 2017

Liputan istimewa dari tawau Menjerit sempena PRU 14 untuk P190 dan 191


Selamat pagi salam sejahtera dan salam satu Malaysia.

Menjelang PRU yang ke  14  bakal menjelma tidak berapa lama lagi  saya sebagai admin Tawau Menjerit ingin mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan selamat berkempen dan selamat melobi untuk semua bakal-bakal calon yang berhasrat untuk bertanding dan mencuba nasib pada pemilihan berkenaan.

Sememangnya pertandingan kali ini menjanjikan persaingan yang sangat sengit bagi semua Parti yang bakal bertanding samada di parti kerajaan maupun di parti pembangkang. Untuk ulasan dan laporan sebelum dan semasa PRU 14 nanti kami di barisan Admin akan memberikan fokus yang sepenuhnya kepada dua kawasan parlimen iaitu P190 Tawau dan P191 kalabakan.

Kepada para membaca yang ingin memberikan sebarang maklumat dan sebagainya adalah dialu-alukan  untuk menghantar mesej peribadi melalui akaun FB Tawau menjerit, Untuk pengetahuan, segala maklumat ada lah bersifat peribadi dan ianya sudah pasti akan di jaga kerasiaan nya dan nama serta peribadi pemberi maklumat berkenaan.

Selamat melobi dan selamat berkempen untuk PRU 14.

Rabu, 6 September 2017

Pemimpin DUN Balung Terawal ke Lokasi Kebakaran Kg Titingan !!

Perasaan ku masih lagi terkejut dengan kejadian yang sangat menyayat hati. Tempat permainan suatu ketika dulu dan tempat persandingan ku, kini sudah tiada yang  hanya tinggal tiang-tiang bulian yang menjadi asas dan tanda tempat ini pernah menjadi penempatan dan tempat tinggal yang dinamakan Kampung Titingan Blok 7. Ianya lenyap dalam sekelip mata dek kerana seseorang yang tidak dapat mengawal emosi diri dan pada saya sudah lari dari jalan allah sehinggakan menyusahkan kesemua 62 keluarga mangsa yang menetap di kampung ini.

Tidak dapat di nafikan akan risiko kejadian akan mudah berlaku di kawasan seperti ini dengan sistem pendawaian eletrik yang tidak teratur dan keadaan rumah yang sangat rapat menyebabkan jika ada kejadian kebakaran berlaku ianya akan cepat merebak dan akan melibatkan banyak rumah dan mangsa.

Tahniah di ucapkan kepada Jabatan-Jabatan yang berkenaan seperti PDRM JPAM, BOMBA,Tentera dan semua yang membantu termasuk  Jabatan yang menyelaras bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Ketua Menteri dan Umno BHGN Tawau yang awal-awal lagi sudah ada di lokasi untuk memantau dan memungut data untuk tujuan menyalurkan bantuan sementara kepada mangsa.

Pada pemerhatian saya hanya ada Pemimpin Balung (DAtuk Nizam DSP Hj Abu Bakar Titingan) Pemimpin yang paling pertama ada di lokasi untuk berjumpa dengan mangsa dan seterusnya memberikan sedikit sumbangan peribadi untuk mangsa, walaupun tidak banyak tetapi ianya boleh di gunakan untuk membeli keperluan harian untuk beberapa hari.

Saya mendoakan semoga mangsa tabah dengan ujian dari allah dan di harapkan dalang yang menyebabkan kebakaran kali ini mendapat hukuman yang setimpal.










Ahad, 4 Jun 2017

Pemandangan indah depan Pejabat Majlis Perbandaran Tawau




Berhati-hati bila anda mengunjungi Perbandaran Tawau yang indah dan permai dengan lampu yang berwarna warni di depan Pejabat Majlis Perbandaran Tawau. Terletak di hadapan pejabat MPT itu juga terdapat satu parit yang mungkin di biarkan berair untuk memudahkan jentik-jentik membiak di samping tempat bekumpulnya sampah-sampah terutamanya sisa-sisa plastik dari gerai Bazaar Ramadhan yang beroperasi di kawasan berkenaan pada waktu siang hari.


Berkemungkinan juga air di biarkan bertakung bagi memudahkan pengunjung menikmati pemandangan  indah dengan sampah yang bertaburan dan jentik-jentik yang hidup sihat di kawasan berkenaan. Tahniah juga kepada pengurusan MAjlis Perbandaran Tawau dengan inisiatif yang di buat untuk menarik pelancung untuk berkunjung ke Tawau Bumi Peladang.


Jumaat, 19 Mei 2017

Penerima BR1M miliki 3 buah rumah,ketahui tips dan cara mendapatkan nya







Sudah agak lama saya tidak keluar dan berkongsi apa yang saya pernah lihat akan kejadian-kejadian yang berlaku di depan mata terutama sekali di Negeri Sabah yang tercinta ini. Di pendekkan cerita, di hari yang penuh dengan rahmat ini saya ini berkongsi satu cerita yang agak menarik untuk di renungkan terutama sekali kepada mereka-mereka yang hidup di dunia kepura-puraan demi untuk memenuhi nafsu dan keinginan diri yang begitu tinggi dan keegoan diri sendiri yang tak dapat dikawal.

Saya ada seorang kawan karib sejak dari sekolah rendah lagi yang sentiasa ingin bergaya terutamanya dari segi penampilan diri . Berumur awal 40 an mempunyai 3 orang anak. Berpendapatan dalam lingkungan RM 3000- RM 3500  yang merupakan orang yang layak untuk menerima bantuan kerajaan iaitu BR1M akan tetapi akan keegoan nya yang sangat tinggi dia menolak untuk mendaftar diri di LHDN dan seterusnya menolak untuk tidak menerima BR1M dengan alasan banyak lagi orang lain yang memerlukan.

Mempunyai sebuah kereta pacuan 4 X 4 berjenama Toyota Vigo yang baru di beli kira-kira setahun yang lalu dan bayaran bulanan sebanyak RM 1200. Membayar ansuran pinjaman peribadi Bank Rakyat sebanyak RM 500 sebulan iaitu pinjaman peribadi untuk deposit pembelian kereta dan melancung ke Bali serta membeli talipon bimbit berjenama yang berharga lebih dari RM 2000 . RM 500 untuk bayaran sewa rumah di sebuah taman yang agak terkenal, RM 350 untuk kos minyak selama sebulan. RM 500 di gunakan untuk pembelian barang-barang dapur. Jika di kira perbelanjaan wajib nya pada setiap bulan ianya sudah berjumlah  RM 3050 dan jika di tolak pendapatan bersih dengan perbelanjaan wajib setiap bulan ianya hanya tinggal RM 450 dan sisa ini lah yang di gunakan untuk perbelanjaan anak ke sekolah, riadah dan pembayaran utiliti seperti air letrik talipon dan sebagainya.

Begitulah keadaan nya setiap bulan umpama gali lubang dan tutup lobang, kerana rasa keegoan yang sangat tinggi segalanya di lalui walaupun keadaan sangat susah, tetapi diharungi dengan penuh kesabaran sehinggakan dahi semangkin hitam dek kerana memikirkan pebelanjaan yang tidak mencukupi semasa di bilik tidur.



Berbeza degan seorang kawan yang mempunyai pendapatan yang sama seperti diatas. Hanya mengunakan kereta jenama Malaysia iaitu My V yang telah habis di bayar kira kira sebulan yang lalu. Mengunakan talipon bimbit berjenama Samsung yang di beli dengan harga RM 700 secara tunai, mempunyai tiga buah rumah dengan bayaran bulanan sebanyak RM 1500 sebulan. Hidupnya agak selesa, dan sentiasa mempunyai duit yang cukup untuk berbelanja dan sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian, tiada hutang kecuali bayaran bank untuk tiga buah rumah. Dua dari tiga rumah berkenaan di sewakan dengan kadar RM 500 sebulan , bermakna hasil sewaan dua rumah berkenaan ialah RM1000 . Dalam kata lain dia hanya mengunakan sebanyak RM 500 dari duit gaji untuk bayaran rumah dan selebihnya beliau gunakan bayaran sewa untuk bayaran  bulanan.

Jika di rumuskan dari dua situasi di atas ,ternyata yang bergaya dan mempunyai hutang keliling pinggang dan hidup dengan kemewahan yang palsu dengan pendapatan yang sekadar cukup makan tetapi berlagak seakan orang kaya akan sangat membebankan bukan saja dari segi kewangan tapi dari segi kesihatan dan kelihatan agak sedikit tau kerana asyik memikirkan hutang yang seakan tak tertanggung hinggakan  ada yang hitam dahi kerana asyik memikir  keadaan ekonomi yang selalu tidak mencukupi.

Walaupun hanya mengunakan kereta jenama Malaysia yang tidak mempunyai hutang, kehidupan mereka ini agak tenang dek kerana, tiada hutang, boleh menyimpan wang setiap bulan di ASB, mempunyai harta kekal sebanyak tiga buah rumah walaupun belum habis di bayar dan tiada masalah kewangan kerana perbelanjaan nya sentiasa berhemah, hanya berbelanja yang perlu sahaja dan boleh mengeluarkan wang pada bila-bila masa saja bila di perlukan tapa meminta simpati dari sesiapa.

Kesimpulannya , janganlah berbelanja jika ianya bukan di tahap kemampuan dan sentiasa berjimat dalam apa jua keadaan. Ukur baju di badan sendiri dan jangan aysik menyalahkan orang lain di atas kekurangan diri sendiri.



Ahad, 5 Mac 2017

Benarkah Flet PPR di sewakan pada pihak ke 3 ?, MPT apa tidakan anda?



Flet PPR adalah satu inisiatif kerajaan yang sangat murni untuk membantu golongan-golongan yang sangat memerlukan rumah kediaman yang selesa kepada golongan yang memerlukan. Ianya juga dapat megurangkan kadar jenayah yang statistiknya begitu tinggi terjadi di perkampungan setinggan terutama jenayah dan penyalah gunaan dadah.

Terdapat tiga Flet PPR yang ada di daerah Tawau diantaranya ialah Flet PPR Semarak,Flet PPR KAmpung Titingan,Flet Sri Apas dan Flet Sri Balung dan yang sedang dalam pembinaan ialah Flet PPR Gudang 4. Jiga di hitung  kerajaan telah menyediakan rumah  PPR dengan kadar sewa yang sangat berpatutan dan terdapat kira-kira 3000 ke 4000 rumah untuk golongan yang tidak mampu untuk memiliki rumag sendri.

Jika di lihat dari jumlah rumah flet PPR yang ada, ianya adalah mencukupi jika ianya di berikan kepada mereka yang layak dan tidak mampu , akan tetapi dengan jumlah yang ada , ianya seakan tidak mencukupi untuk meanpung permintaan yang sangat tinggi dari golongan yang memerlukan rumah PPR di daerah Tawau.

Apakah faktor yang membuatkan Flet PPR ini tidak dapat menampung golongan yang memerlukan. HAsil pemerhatian kasar saya di setiap Flet yang ada   Kawasan Flet berkenaan di penuhi dengan kenderaan pelbagai jenama termasuk yang mempunyai kuasa kuda 2000 cc dan ke atas. Jika di lihat dari kelayakan seseorang yang menerima BR1M,. seseorang yang mempunyai kereta melebihi 2000 cc dan keatas adalah tidak layak untuk menerima BR1M apalagi memiliki dan tinggal di rumah PPR yang sememangnya untuk golongan yang memerlukan.

Ramai yang mendapat rumah PPR ini menyewakan dengan pihak ketiga dengan sewa diantara 250 ke 450 ringgit sebulan, ini bermakna mereka mendapat untung atas angin dengan sewa yang di berikan kepada pihak yang ketiag.

Kenapa semua ini terjadi? Ini adalah kerana pihak yang di berikan tanggungjawab untuk menyelaras dan  menentukan siapa yang jayak di berikan terlepas pandang akan perkara ini.

Tidak lama lagi Flet PPR Gudang 4 akan siapa dan di harap pihak PBT yang di pertanggungjawabkan dapat memilih mereka-mereka yang layak sahaja secara telus dan cadangan saya semua penama yang dapat perumahan tersebut di wartakan di surat khabar tempatan bagi memudahkan rakyat setempat membuat bantahan kepada penama yang tidak layak untuk memiliki perumahan tersebut.

Diharapkan PBT akan lebih telus di dalam menangani masalah ini agar hanya mereka yang benar-benar memerlukan yang di berikan keutamaan untuk menyewa kediaman tersebut.